Kajian Rentas Pendedahan Partikel Terampai (PM10) Terhadap Fungsi Keupayaan Paru-Paru dan Simptom Masalah Respiratori Dalam Kalangan Pelajar Sekolah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Keywords:
partikel terampai, st. george, keupayaan paru-paru, sekolah, murid, pendedahan habuk, habuk galianAbstract
Kajian rentas telah dijalankan ke atas kanak-kanak yang bersekolah 1 km dari sebuah kuari di Bukit Mertajam. Objektif kajian ini ialah untuk mengkaji hubungan PM10 dengan fungsi paru-paru dan simptom masalah respiratori kanak-kanak tersebut. Seramai 36 kanak-kanak yang bersekolah berhampiran kuari dan terdedah dengan debu telah dipilih, manakala 57 orang kanak-kanak yang bersekolah berjauhan tetapi di daerah yang sama telah dipilih sebagai kumpulan perbandingan untuk kajian ini. Borang soal selidik St. George’s dengan sedikit perubahan diberikan kepada responden. Pendedahan habuk diukur dengan menggunakan alat Personal Air Sampler manakala keupayaan paru-paru diukur dengan alat Peak Flow Meter. Data yang diperolehi akan dianalisa dengan menggunakan IBM SPSS Statistics Version 21. Ujian Independent Sample T-Test dilakukan bagi menentukan perbezaan bacaan bagi kumpulan terdedah dan perbandingan. Seterusnya ujian korelasi dilakukan bagi memperoleh perkaitan antara dua pemboleh ubah tersebut. Nilai min pendedahan habuk (mg/m³) yang diperoleh pada kanak-kanak sekolah yang terdedah ialah 36.2589 manakala kanak-kanak sekolah yang tidak terdedah ialah 22.5810. Nilai min keupayaan paru-paru (L/min) bagi kanak-kanak sekolah terdedah ialah 352.50 manakala kanak-kanak sekolah tidak terdedah pula ialah 383.68. Hasil kajian penyelidikan ini mendapati bahawa terdapat hubungkait antara pendedahan habuk partikel terampai (PM10) terhadap keupayaan paru-paru di antara kanak-kanak yang jarak sekolah berdekatan kawasan kuari dengan jarak lebih jauh dari kawasan kuari di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.